PROLOG
Kali
pertama aku buka mata? Kosong. Hati rasa kosong. Fikiran pun rasa kosong. Apa
yang aku ingat? Juga kosong.
Siapa
aku? Macam mana aku boleh berada di sini? Apa yang telah terjadi kepadaku? Kenapa
aku langsung tak ingat apa-apa?
Semuanya
dijawab oleh lelaki separuh umur yang setia menunggu di sampingku. Orang yang
bergelar ayahku. Wajah cengkungya jelas-jelas kepenatan. Ada lingkaran gelap di
bawah mata yang menjadi bukti nyata bahawa dia terkesan dengan keadaanku.
Nurissa.
Itu yang dia panggil aku. Nama penuh, Nurissa Rose binti Noriman. Aku dimasukkan
ke hospital gara-gara kemalangan jalan raya. Teruknya sampai doktor tak tahu
sama ada mereka boleh selamatkan aku atau tidak. Dengan izin Allah, aku berjaya
melepasi tahap kritikal. Tapi aku koma untuk jangka masa yang tak siapa yang
tahu.
Sehinggalah
sekarang. Setahun. Itulah jumlah masa aku terlantar di atas katil ini. Sangat
terkejut. Juga bersyukur. Rasa macam mati dihidupkan semula. Mereka semua
mendefinasikannya sebagai keajaiban. Tapi aku pula mendefinasikannya sebagai
peluang kedua. Mungkin aku diberikan peluang untuk tebus kesalahanku? Atau
berbakti kepada orang yang sayangkanku? Atau sebenarnya ini semua berkat
orang-orang yang doakan aku agar terus kuat berjuang? Wallahualam. Aku sendiri pun tak tahu.
Malangnya
aku bukan diriku sebaik saja aku buka mata. Setiap yang berlaku pasti ada
komplikasi yang bakal kutanggung. Hantukan kuat pada belakang kepalaku buatkan
aku alami retrograde amnesia. Kata doktor, keadaan ini
mungkin sementara. Boleh jadi beberapa hari, beberapa bulan dan mungkin juga sehingga
ke akhir hayatku. Perasaanku bila doktor cakap macam tu?
Kosong.
Dan
beberapa hari telah pun berlalu. Keadaanku masih sama. Hidup tanpa tahu siapa
kita yang sebenarnya amat memenatkan dan stres. Aku bagaikan tak punya identiti
diri. Hati selalu tertanya-tanya, bagaimana kehidupanku sebelum aku hilang
ingatan? Baikkah aku? Atau jahatkah aku? Berapa banyak pahala aku? Atau lebih
banyak dosa terkumpul? Rasa bagaikan hidup tak lengkap.
Mungkin
emosi masih kurang stabil, aku sering menangis apabila ditinggalkan sendirian.
Entah kenapa aku rasa satu kehilangan yang amat besar tanpa ingatan. Aku tak
tahu kenapa aku rasa bagaikan aku lupakan sesuatu yang paling bermakna dalam
hidupku. Hati bagaikan sedang dambakan sesuatu.
Atau
sesorang? tapi malangnya tiada satu pun memori lepas yang terimbas dalam
fikiranku.
Satu
hari, apabila aku membuka mata, masih tiada apa-apa yang berubah. Pandangan
kosong ke arah siling putih bilik pesakit itu. Hanya bunyi pendingin hawa yang
jadi melodi di halwa telinga. Bezanya, bilik itu kosong tanpa ayah.
Hidup
mesti diteruskan. Itulah motivasi yang selalu aku tiupkan ke dalam jiwa
sendiri. Tiap-tiap hari.
Aku
cuba duduk sendiri. Otot-ototku masih lemah gara-gara dah lama tak digunakan.
Sesuatu yang berbeza hari itu. Di sisi meja kecil di sebelah katilku, ada
sekuntum mawar putih cantik terletak. Bibir secara automatiknya menguntum
senyum. Aneh. Ini kali pertama aku senyum sepanjang aku buka mata.
Bunga
mawar bunga kesukaanku agaknya. Tangan terus capai. Kelopak lembut putih itu
diusap perlahan. Cantik. Kemudian dibawa ke hidung. Dalam-dalam nafas ditarik
bersama bau manis bunga mawar itu. Tenang. Sekali lagi bunga itu dipandang. Ada
satu kad kecil terikat di batang mawar putih itu.
Rest
well. Till we meet again, Rose
Encik Duri
Rose?
Dia panggil aku Rose. Tulisan tangan berangkai itu bagai dekat di hati. Sangat
cantik. Sekali melihat pun aku sudah jatuh hati dengannya.
Encik
Duri?
Kalau awak ros, saya durinya…
Auchh!
Aku pegang kepalaku. Suara siapa yang melekat dalam kepalaku ini?
Erat-erat
aku pejam mata. Cuba redakan sakit kepala yang tiba-tiba menyengat.
“Encik
Duri,” sebutku. Ulang dan ulang lagi dalam kepala. Cuba membayangkan insan yang
berselindung di balik sebaris nama itu. Siapa dia? Kenapa dia datang ketika aku
sedang lena?
Yang
pasti dia kenal siapa aku. Dan aku dapat rasakan dia adalah orang penting dalam
hidupku. Kawan aku? Atau kekasih? Atau tunang? Arghh.. kenapa tiada langsung memoriku tentang siapa dia ni?
Pantang
otak mula bekerja keras, sakitnya bagai mahu meletup kepala ni. Sekali lagi
jari mengurut kepala. Rileks, Nurissa. Rileks. Nafas ditarik dalam-dalam, cuba
untuk tenangkan diri sendiri. Beberapa kali doktor berpesan supaya aku jangan
stres kalau aku taknak rumitkan lagi keadaan. Kalau aku nak baik, jangan paksa
diri.
Ros
di tangan dibawa ke hidung lagi. Sedut bau lagi sekali. Fikiran kembali tenang.
Aku yakin bunga ros adalah bunga kesukaanku. Bunga dari Encik Duri. Suatu hari
nanti, pasti aku akan tahu siapa dia.
Aku
menguap. Tiba-tiba rasa penat. Tubuh kembali dijatuhkan ke atas katil secara
mengiring. Bunga itu digenggam erat ke dada sebelum tutup mata. Tanpa sedar,
bibir sempat mengorak senyuman. Gembira entah kenapa.
A pretty rose definitely blows a
good spirit. Tiba-tiba terngiang-ngiang ayat itu
dalam kepala. Aku setuju.
Lenaku
setelah itu diulit mimpi indah. Sangat indah. Terbayang seulas senyuman yang
terukir bersama satu lesung pipit di pipi kanannya. Lawa. Hati rasa senang bila
melihat senyum gembiranya itu. Aku rasa aku mahu selalu menjadi penyebab untuk
dia tersenyum. Malangnya, wajah pemilik senyuman indah itu samar-samar.
Wait for me, mia bella..
Suara
sama juga yang berkata. Juga samar-samar. Tapi selalu kudengar.
Sering
tertanya-tanya. Siapakah dia?